Wednesday 17 December 2014

Pengangguran Graduan Dalang Kemunduran Negara

Molly Jikulloi
14 December 2014

Graduan hari ini terpaksa menerima hakikat bahawa mendapat segulung ijazah bukanlah ‘tiket’ bagi mendapatkan pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan akademik yang dimiliki. Kadangkala kelulusan yang tinggi tidak menjanjikan pekerjaan yang diingini. Ramai graduan yang beranggapan bahawa dengan hanya segulung ijazah peluang mereka untuk menceburi sesuatu pekerjaan adalah sangat luas namun, pada hakikatnya mereka terpaksa bersaing secara global untuk meraih kekosongan jawatan yang ada. Dalam erti kata lain, persiapan dari segi ilmu dan kemahiran perlu diasah lagi untuk mempamerkan peribadi yang unggul dan berkualiti.

Berbeza pula dengan keadaan sepuluh atau dua puluh tahun yang lalu di mana, kekosongan jawatan sentiasa menunggu untuk diisi oleh para graduan. Mereka tidak perlu menunggu lama untuk memohon suatu pekerjaan, yang lebih menakjubkan lagi peluang mereka untuk memperoleh kerjaya yang di minati sangat besar. Namun demikian, senario hari ini telah berubah, berharap untuk mendapat pekerjaan yang diminati semata-mata adalah sama seperti melepaskan batuk di tangga. Mentaliti ini harus diubah kerana, graduan perlu sentiasa mempersiapkan diri secara terbuka untuk menerima apa sahaja bentuk pekerjaan yang diperoleh.

Dalam konteks ini, graduan tidak boleh menumpukan satu bidang minat kerjaya sahaja tetapi, mereka perlu berfikiran secara kreatif untuk melihat peluang kerjaya secara meluas. Ini kerana, pemburu kerjaya bukan sahaja daripada kalangan para graduan, tetapi ia melibatkan semua golongan daripada lepasan sekolah, kolej, politeknik dan institut kemahiran yang lain.


Pertambahan graduan yang dilahirkan setiap tahun menyebabkan persaingan yang sengit dalam memburu pekerjaan. Lebih menyedihkan lagi, terdapat sesetengah graduan yang terpaksa menganggur selama bertahun-tahun menanti peluang yang tidak pasti. Sekiranya krisis pengangguran graduan berada di tahap yang kritikal dan dipandang sebelah mata oleh pihak yang berkenaan maka, reputasi sesebuah institusi akan jatuh. Persoalan yang mungkin timbul dalam benak masyarakat ialah sejauh manakah kualiti dan keboleh pasaran graduan dalam jangka masa yang panjang. 
Terdapat lima tips utama untuk mengatasi masalah ini:
1. Mewujudkan syarikat-syarikat tempatan untuk latihan bekerja praktikal khas untuk graduan.

2. Mewujudkan data berpusat yang ditadbir secara profesional  dan menjadi rujukan kepada pihak JPA untuk menjejaki graduan yang belum bekerja untuk tujuan sokongan dan bantuan.

3. Melebihkan latihan secara praktikal kepada graduan

4. Kerajaan perlu mewujudkan dana khas sebagai bantuan kepada graduan yang dikenal pasti menunjukkan penglibatan yang efektif dan cemerlang dalam menubuhkan perniagaan secara usaha sendiri.

5. Mengurangkan birokrasi dalam memilih pekerja dalam sesebuah jabatan atau syarikat.

No comments:

Post a Comment