Wednesday 17 December 2014

Destinasi Kedamaian Desa

images.jpg
Air Terjun Mahua - Destinasi Kedamaian Desa
Oleh: Molly Jikulloi

Pastinya, cuti di hujung minggu mengundang rasa bosan yang menebal dalam jiwa. Dalam keadaan seperti ini, pasti anda inginkan suasana yang nyaman untuk menenangkan fikiran setelah berhadapan dengan hari-hari yang sangat mencabar di tempat kerja.
Pulang ke rumah setiap petang selepas kerja dengan keadaan yang letih lesu menyebabkan anda tidak dapat menjalankan aktiviti yang lebih  selain daripada tidur sahaja yang menjadi rutin harian.

Anda tidak dapat menemui jalan penyelesaian untuk meleraikan kekusutan yang melanda sekiranya anda tidak memberi ruang kepada diri sendiri bagi menenangkan fikiran.
Bagi mengatasi masalah ini, anda boleh merancang percutian di Air Terjun Mahua, Tambunan Sabah. Lokasi ini terletak nun jauh di kampung namun, keadaan persekitarannya yang bersih, udara yang nyaman dan pokok-pokoknya yang meliuk lintuk di tiup angin dengan bunyi kicauan burung yang seolah-olah menikmati keindahan destinasi itu, semestinya memberi satu kepuasan kepada anda untuk merehatkan hati dan fikiran. Lokasi ini di katakan sesuai kerana ia sangat jauh daripada bunyi bising dan pencemaran di kawasan bandar yang acap kali berlaku.
Aktiviti yang amat menarik dan sesuai dilakukan bersama keluarga di tempat ini ialah berkelah. Untuk membuatkan aktiviti berkelah anda menjadi lebih menarik dan mudah, beberapa tips disediakan sebagai panduan sebelum memulakan perjalanan.

Pertama sekali, anda perlulah menyenaraikan barang-barang yang perlu dibawa. Selepas itu, kumpulkan barang-barang tersebut dan simpan dalam satu tempat yang sesuai. Contoh barang-barang asas yang sesuai dibawa ialah pakaian salin/ baju mandi, tuala, air minuman dan makanan ringan, minyak angin, tuala, dan khemah.

Kedua, pilih lokasi yang strategik. lokasi tersebut mestilah rata dan memudahkan pergerakan anda. keadaan yang tidak rata boleh mengundang kecederaan. Justeru itu, kawasan yang strategik juga boleh membantu anda untuk mendirikan khemah dengan kukuh.

Ketiga, bersihkan sekitar tempat perkelahan. Ruang yang kotor boleh mengganggu percutian anda kerana keadaan persekitaran yang tidak selesa dan berbau busuk. Justeru itu, ruang yang bersih boleh menghindari anda daripada binatang berbahaya.

Keempat, pasang khemah. Selepas khemah dipasang, anda boleh memulakan susun atur barang agar ia kelihatan kemas dan senang di ambil. Sediakan juga satu sudut yang sesuai untuk menempatkan beg-beg yang besar. Satu sudut lagi untuk menyimpan makanan, minuman, tisu, kain lap tangan, air mandian dan air basuh kaki.

Kelima, setelah selesai berkhemah anda bolehlah mengemaskan barang. Jangan lupa untuk mengumpul sampah dan mengutip plastik setelah selesai aktiviti. Elakkan daripada bersepah kerana ia boleh menyebabkan pencemaran.

Oleh itu, anda bolehlah berkunjung dan menghabiskan masa dengan sekali sekala memilih lokasi percutian yang terletak di kawasan luar bandar. Selain daripada keindahan alam yang bakal anda nikmati, anda juga mampu merancang kos bajet yang lebih murah. Ia pasti memberi nilai tambah dan kepuasan kepada anda.



No comments:

Post a Comment