Wednesday 17 December 2014

Kebanjiran PTI: Salah Siapa?


Molly Jikulloi
10 December 2014

Pembangunan di Malaysia pada abad ke-21 kini terus berkembang tanpa sempadan merentasi arus globalisasi. Negara Malaysia telah menerokai setiap inci demi inci kejayaan dalam pelbagai aspek sehinggalah ke hari ini kita masih mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara lain. Kestabilan politik dan perkembangan dari segi ekonomi telah menjadikan Malaysia sebagai ikon antarabangsa untuk melangkah lebih jauh dalam pembangunan sesebuah negara.

Namun demikian, kelemahan daripada aspek sosial masih jelas kelihatan apabila isu mengenai kebanjiran PTI masih gagal ditangani oleh pihak yang berkenaan khususnya di Sabah. Sekian lama rakyat Sabah terpaksa berendam air mata apabila isu ini menjadi serius setiap tahun. Saban hari, media massa asyik memaparkan isu-isu sosial yang dipelopori oleh golongan pendatang asing tanpa izin. Apabila perkara ini acap kali berlaku dan tiada kawalan drastik daripada pihak-pihak tertentu maka ia seolah-olah menjadi perkara biasa dan lambat laun akan menjadi isu-isu luar biasa. Isu-isu seumpama ini bertambah serius setiap tahun apabila kedatangan pendatang asing terus meningkat melebihi jumlah suku kaum di Sabah. Dalam konteks ini siapakah yang wajar dipersalahkan?. Adakah sistem kawalan dan keselamatan negara kita yang lemah? atau adakah kerajaan sudah lepas tangan atau menutup sebelah mata untuk menangani masalah ini?.

Kebanjiran PTI telah menyebabkan keselamatan sosial di Sabah khususnya turut terancam. PTI yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah cuba menyusup masuk ke Sabah dan ada dalam kalangan mereka adalah penjenayah yang dikehendaki pihak berkuasa di negara asal mereka. Lebih malangnya lagi, mereka terus melakukan jenayah seperti pembunuhan, kes rompakan, rogol dan sebagainya di Sabah. Situasi ini telah memberi impak besar dalam kehidupan masyarakat Sabah yang sentiasa dilanda ketakutan dan menanggung trauma sepanjang masa.

Selain itu, lambakan kehadiran warga asing juga akan menyebabkan pembawaan penyakit-penyakit berbahaya yang merebak secara meluas. Lazimnya, PTI yang masuk ke Sabah tidak menjalani pemeriksaan kesihatan. Akibatnya, rakyat terpaksa menjadi mangsa kepada penyakit-penyakit tersebut. Penularan penyakit tersebut juga turut menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos perbelanjaan yang tinggi bagi mengatasi masalah ini. Statistik menunjukkan peningkatan bermacam-macam jenis penyakit setiap tahun dalam kalangan masyarakat. Antara jenis penyakit yang kian berleluasa pada masa kini ialah AIDS, tibi, hepatitis, penyakit kelamin dan sebagainya.

Kedatangan pendatang asing juga turut mendatangkan masalah setinggan. Di mana, mereka mendirikan kawasan perumahan secara haram. Lazimnya, mereka akan memilih kawasan-kawasan yang terpencil dan tersorok daripada pihak berkuasa seperti di kawasan hutan, kebun-kebun kecil dan sebagainya. Kawasan setinggan ini menyumbang kepada masalah kesesakan dan pencemaran alam sekitar. Ini kerana, mereka tidak mempunyai sistem kumbahan dan pembuangan sampah yang teratur. Malahan kemudahan asas seperti bekalan air yang bersih dan elektrik juga sukar diperoleh. Namun demikian, terdapat juga sesetengah perumahan setinggan yang mempunyai kemudahan asas yang lengkap dengan bekalan elektrik dan air. Persoalannya, bagaimana pula mereka dengan mudahnya memperoleh kemudahan-kemudahan ini?, mengapakah pihak yang berkenaan tidak membuat pemeriksaan terhadap permohonan-permohonan ini?, serta siapakah yang patut dipersalahkan atas kelalaian ini?. Walhal, masih ramai masyarakat Sabah khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman yang masih membutuhkan kemudahan-kemudahan ini namun masih dalam kes rayuan permohonan untuk memperolehnya.

 Masyarakat terpaksa melalui pelbagai proses yang rumit semata-mata untuk membuat permohonan ini, kadangkala mereka terpaksa menunggu masa yang agak lama. Adakah pihak yang berkenaan memandang enteng terhadap masalah ini ataupun ianya merupakan agenda politik semata-mata. Justeru itu, situasi ini jelas menggambarkan sistem pentadbiran yang lemah dan penuh dengan muslihat. Secara tidak langsung ia boleh menjejaskan imej negara.

Hak yang sepatutnya menjadi milik rakyat akan bertukar tangan dengan warga PTI. Dalam konteks ini, persaingan sengit antara warga tempatan dan warga PTI dari segi ekonomi menjadi semakin parah dan membimbangkan. Kes ini dikatakan tidak akan menemui jalan penyelesaian selagi pihak majikan terus menerus mengupah warga PTI sebagai pekerja dalam sektor pembinaan, perladangan, penternakan, pembantu rumah dan sebagainya. Melalui temu bual tidak langsung, rata-rata majikan lebih suka memilih PTI kerana kos upah yang lebih murah. Hal ini sudah pastinya akan menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan dan menyumbang kepada masalah pengangguran yang serius.

 Majikan perlu menyedari bahawa sikap seumpama ini adalah salah di sisi undang-undang. Selain persaingan dari segi pekerjaan, warga tempatan juga terpaksa bersaing dari segi perniagaan. Hal ini kerana, banyak warga PTI yang terlibat dalam aktiviti perniagaan seperti membuka gerai makanan, menyediakan perkhidmatan menjahit pakaian, menjual barangan kemas, menjual ikan dan sebagainya. Mereka akan meletakkan harga barangan yang murah untuk meraih pelanggan yang ramai.

 Lebih mengecewakan lagi, terdapat juga sesetengah warga tempatan yang membeli barangan tersebut seolah-olah warga tempatan menyokong tindakan salah PTI. Di samping itu, ada dalam kalangan PTI yang hidup mewah dan menjadi kaya raya tanpa membayar cukai pendapatan. Persoalan yang  timbul ialah bagaimana kerajaan membuat pemantauan secara sistematik terhadap masalah ini sehingga kes-kes seperti ini boleh terlepas pandang ataupun sudah terpandang namun tiada tindakan segera di ambil.


Umumnya, masalah PTI yang kian meningkat saban hari telah menghantui masyarakat Sabah, mereka bukan sahaja membuka tanah di perkampungan malah mereka semakin melebarkan taring membuka penempatan di kawasan bandar. Impak ini bukan sahaja menjadi duri dalam masyarakat Sabah malah keperitan ini juga turut dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia. Justeru itu, rakyat tetap Sabah seolah-olah menjadi pelarian atau penumpang di tempat sendiri apabila hak-hak rakyat Sabah dimonopoli dan terpaksa dikongsi bersama PTI.

Pengangguran Graduan Dalang Kemunduran Negara

Molly Jikulloi
14 December 2014

Graduan hari ini terpaksa menerima hakikat bahawa mendapat segulung ijazah bukanlah ‘tiket’ bagi mendapatkan pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan akademik yang dimiliki. Kadangkala kelulusan yang tinggi tidak menjanjikan pekerjaan yang diingini. Ramai graduan yang beranggapan bahawa dengan hanya segulung ijazah peluang mereka untuk menceburi sesuatu pekerjaan adalah sangat luas namun, pada hakikatnya mereka terpaksa bersaing secara global untuk meraih kekosongan jawatan yang ada. Dalam erti kata lain, persiapan dari segi ilmu dan kemahiran perlu diasah lagi untuk mempamerkan peribadi yang unggul dan berkualiti.

Berbeza pula dengan keadaan sepuluh atau dua puluh tahun yang lalu di mana, kekosongan jawatan sentiasa menunggu untuk diisi oleh para graduan. Mereka tidak perlu menunggu lama untuk memohon suatu pekerjaan, yang lebih menakjubkan lagi peluang mereka untuk memperoleh kerjaya yang di minati sangat besar. Namun demikian, senario hari ini telah berubah, berharap untuk mendapat pekerjaan yang diminati semata-mata adalah sama seperti melepaskan batuk di tangga. Mentaliti ini harus diubah kerana, graduan perlu sentiasa mempersiapkan diri secara terbuka untuk menerima apa sahaja bentuk pekerjaan yang diperoleh.

Dalam konteks ini, graduan tidak boleh menumpukan satu bidang minat kerjaya sahaja tetapi, mereka perlu berfikiran secara kreatif untuk melihat peluang kerjaya secara meluas. Ini kerana, pemburu kerjaya bukan sahaja daripada kalangan para graduan, tetapi ia melibatkan semua golongan daripada lepasan sekolah, kolej, politeknik dan institut kemahiran yang lain.


Pertambahan graduan yang dilahirkan setiap tahun menyebabkan persaingan yang sengit dalam memburu pekerjaan. Lebih menyedihkan lagi, terdapat sesetengah graduan yang terpaksa menganggur selama bertahun-tahun menanti peluang yang tidak pasti. Sekiranya krisis pengangguran graduan berada di tahap yang kritikal dan dipandang sebelah mata oleh pihak yang berkenaan maka, reputasi sesebuah institusi akan jatuh. Persoalan yang mungkin timbul dalam benak masyarakat ialah sejauh manakah kualiti dan keboleh pasaran graduan dalam jangka masa yang panjang. 
Terdapat lima tips utama untuk mengatasi masalah ini:
1. Mewujudkan syarikat-syarikat tempatan untuk latihan bekerja praktikal khas untuk graduan.

2. Mewujudkan data berpusat yang ditadbir secara profesional  dan menjadi rujukan kepada pihak JPA untuk menjejaki graduan yang belum bekerja untuk tujuan sokongan dan bantuan.

3. Melebihkan latihan secara praktikal kepada graduan

4. Kerajaan perlu mewujudkan dana khas sebagai bantuan kepada graduan yang dikenal pasti menunjukkan penglibatan yang efektif dan cemerlang dalam menubuhkan perniagaan secara usaha sendiri.

5. Mengurangkan birokrasi dalam memilih pekerja dalam sesebuah jabatan atau syarikat.

Destinasi Kedamaian Desa

images.jpg
Air Terjun Mahua - Destinasi Kedamaian Desa
Oleh: Molly Jikulloi

Pastinya, cuti di hujung minggu mengundang rasa bosan yang menebal dalam jiwa. Dalam keadaan seperti ini, pasti anda inginkan suasana yang nyaman untuk menenangkan fikiran setelah berhadapan dengan hari-hari yang sangat mencabar di tempat kerja.
Pulang ke rumah setiap petang selepas kerja dengan keadaan yang letih lesu menyebabkan anda tidak dapat menjalankan aktiviti yang lebih  selain daripada tidur sahaja yang menjadi rutin harian.

Anda tidak dapat menemui jalan penyelesaian untuk meleraikan kekusutan yang melanda sekiranya anda tidak memberi ruang kepada diri sendiri bagi menenangkan fikiran.
Bagi mengatasi masalah ini, anda boleh merancang percutian di Air Terjun Mahua, Tambunan Sabah. Lokasi ini terletak nun jauh di kampung namun, keadaan persekitarannya yang bersih, udara yang nyaman dan pokok-pokoknya yang meliuk lintuk di tiup angin dengan bunyi kicauan burung yang seolah-olah menikmati keindahan destinasi itu, semestinya memberi satu kepuasan kepada anda untuk merehatkan hati dan fikiran. Lokasi ini di katakan sesuai kerana ia sangat jauh daripada bunyi bising dan pencemaran di kawasan bandar yang acap kali berlaku.
Aktiviti yang amat menarik dan sesuai dilakukan bersama keluarga di tempat ini ialah berkelah. Untuk membuatkan aktiviti berkelah anda menjadi lebih menarik dan mudah, beberapa tips disediakan sebagai panduan sebelum memulakan perjalanan.

Pertama sekali, anda perlulah menyenaraikan barang-barang yang perlu dibawa. Selepas itu, kumpulkan barang-barang tersebut dan simpan dalam satu tempat yang sesuai. Contoh barang-barang asas yang sesuai dibawa ialah pakaian salin/ baju mandi, tuala, air minuman dan makanan ringan, minyak angin, tuala, dan khemah.

Kedua, pilih lokasi yang strategik. lokasi tersebut mestilah rata dan memudahkan pergerakan anda. keadaan yang tidak rata boleh mengundang kecederaan. Justeru itu, kawasan yang strategik juga boleh membantu anda untuk mendirikan khemah dengan kukuh.

Ketiga, bersihkan sekitar tempat perkelahan. Ruang yang kotor boleh mengganggu percutian anda kerana keadaan persekitaran yang tidak selesa dan berbau busuk. Justeru itu, ruang yang bersih boleh menghindari anda daripada binatang berbahaya.

Keempat, pasang khemah. Selepas khemah dipasang, anda boleh memulakan susun atur barang agar ia kelihatan kemas dan senang di ambil. Sediakan juga satu sudut yang sesuai untuk menempatkan beg-beg yang besar. Satu sudut lagi untuk menyimpan makanan, minuman, tisu, kain lap tangan, air mandian dan air basuh kaki.

Kelima, setelah selesai berkhemah anda bolehlah mengemaskan barang. Jangan lupa untuk mengumpul sampah dan mengutip plastik setelah selesai aktiviti. Elakkan daripada bersepah kerana ia boleh menyebabkan pencemaran.

Oleh itu, anda bolehlah berkunjung dan menghabiskan masa dengan sekali sekala memilih lokasi percutian yang terletak di kawasan luar bandar. Selain daripada keindahan alam yang bakal anda nikmati, anda juga mampu merancang kos bajet yang lebih murah. Ia pasti memberi nilai tambah dan kepuasan kepada anda.



Wednesday 3 December 2014

Cerita Hari Ini

Hari demi hari, terasa perjalanan hidup ini semakin mencabar seolah-olah di setiap sisi kehidupan di penuhi dengan duri dan belukar yang menyesakkan sehingga hati bermonolog untuk berhenti tidak melangkah lagi. Kegagalan..Keletihan..pasrah… silih berganti bermain di persimpangan kehidupan. Namun, dalam kesukaran itu, masih terdapat cebisan-cebisan harapan yang masih bersisa. Sehinggakan air mata ini mengalir laju bukan bermaksud kalah dengan permainan dunia tetapi, air mata kekuatan..kemenangan…dan tabah mengharungi dugaan meskipun dalam keadaan  langkah yang hampir longlai. Satu kata semangat daripada seorang ibu membuatkan diri ini  masih berdiri teguh sehingga kini menikmati makna kehidupan yang sebenarnya. Ibu berpesan “ kalau orang lain boleh, kau pun mesti boleh, kau berdoa dan tabah sahaja sebab kejayaan tidak berhasil tanpa usaha”… .. Sekali lagi air mata ini tumpah melihat wajah orang tersayang  memegang bahu ini dengan segunung harapan yang terpikul di pundak. Terima kasih untuk pengalaman terindah ini. Semoga padi yang menguning dapat dikongsi dan dituai bersama agar seluruh kampung dapat merasa enaknya nasi yang dimasak. 

Moral Of The Story..
** Hidup ini mempunyai nilai dan makna yang sangat besar. Hargai dan sayangilah hidup ini yang cuma seketika menghirup udara di alam realiti. Keputusan yang dibuat menentukan identiti diri kita, jika ingin melangkah lebih jauh bersedialah menerima ketukan tukul yang menyakitkan namun, di akhir perjuangan kita akan menemui siapa diri kita. Peribadi diri yang luar biasa turut tercipta melalui sejauh mana ketukan tukul itu mengoncang hidup kita... :) ... 

Tuesday 11 November 2014

My Journal Life

                                                                       10/05/2014-6.26 P.M-Kg. E UMS


Originally Created By: Molly Allyna

Hari Ini Dan Esok Menjanjikan Makna Tersurat Dan Tersirat…


1. Jika hari ini Aku ditindas oleh seorang bijaksana kerana agamaku, Hari Esok Aku akan bangkit untuk menghancurkan  sifat Rasis itu sehingga lumat.


2. Jika hari ini Aku mengalami kesempitan kerana impian ku, Hari Esok Aku akan menikmati kesenangan hasil titik peluh ku untuk membantu mereka yang memerlukan.


3. Jika hari ini Aku menangis kerana kegagalan Ku, Hari Esok Aku akan tertawa kerana kejayaan Ku.


4. Jika hari ini Aku yang terhina dalam pandangan manusia, Hari Esok Aku akan bangkit menjadi seorang yang berkarisma.


5. Jika hari ini Aku seorang yang jahil tentang ilmu pengetahuan, Hari Esok Aku akan menjadi medium dan rujukan orang ramai untuk mendapatkan ilmu.


6. Jika hari ini Aku gagal untuk bertutur dalam bahasa ku, Hari Esok Akulah penutur yang tiada tolak bandingnya.


7. Jika hari ini Aku dipinggirkan kerana aku tidak mempunyai apa-apa dan tidak setaraf mereka, Hari Esok Aku akan memberitahu mereka bahawa Aku tetap menerima mereka dengan apa adanya kerana mereka juga adalah manusia unik ciptaan Tuhan.


8. Jika hari ini aku telah mengecewakan orang yang tulus menyayangi ku, Hari Esok Aku akan lebih berharap agar mereka menemui insan terbaik daripada ku.


9. Jika hari ini Aku memberontak dalam batin Ku bahawa peraturan mengongkong kebebasan Ku, Hari esok Aku akan memberitahu dunia bahawa Aku menjadi seorang yang berdisiplin kerana kongkongan tersebut.


10. Jika hari ini Aku sentiasa meminta dan terus meminta daripada ibu bapa Ku, Hari Esok Akulah yang sentiasa memberi dan mencukupi keperluan dan kekurangan mereka seperti air sungai yang tidak pernah berhenti mengalir.



*** Tuhan… Berkati Usaha, Harapan, Impian dan Cita-Cita ku… Aku percaya suatu hari nanti Tuhan akan menjawab Doa ku dan menjanjikan yang terbaik dalam hidup ku… Tetapi sedarkan aku sentiasa Tuhan bahawa di luar daripada Mu aku tidak mampu berbuat apa-apa. Dalam setiap hembusan nafas dan denyutan jantung ku, Aku memerlukan Engkau Tuhan… Amen… 

Monday 10 November 2014

Tips Mengenali Keperibadian Diri

Setiap manusia dicipta dengan keunikan karakter yang berbeza-beza. Perubahan diri dimulai dengan Proses untuk mengenali diri sendiri. Kita tidak dapat melangkah jauh sekiranya kita memandang enteng terhadap perubahan diri. Perkara yang sangat membahagiakan ialah apabila kita dapat mengenali siapa diri kita, dengan mudahnya kita dapat menerima dengan apa adanya keadaan diri kita. Justeru itu, kita dapat menilai kelemahan dan kelebihan dalam diri. Berikut merupakan tips untuk mengenali keperibadian diri.



1. Memaafkan diri sendiri


Kita tidak dapat mengenali diri sendiri sekiranya kita sukar untuk memaafkan diri kita. Hal ini kerana, terdapat benteng-benteng yang membatasi cara pemikiran kita yang normal kerana hati dan minda di selubungi dengan perasan gelisah, gundah, takut, marah dan sebagainya. Oleh itu, ambillah peluang untuk memaafkan diri kita ketika menyelusuri kisah silam yang menyakitkan. Berfikirlah rasional terhadap setiap perkara yang menimpa kita.


2.Monolog dalaman/Muhasabah diri


Kita dapat mengenali identiti kita melalui pertanyaan-pertanyaan mendalam tentang diri sendiri. Kita boleh bertanya tentang apakah sebenarnya potensi yang tersimpan dalam diri, bila dan bagaimana potensi itu muncul. Selepas itu, kenalilah potensi diri yang terkubur begitu sahaja  kerana kelalaian untuk mengembangkannya. Selanjutnya, catatkan langkah proaktif yang boleh diambil untuk mengembangkan diri sendiri.


3. Melakukan refleksi diri 


Amatlah sesuai sekiranya anda melakukan refleksi sebelum melelapkan mata. Cuba renungkan kembali apakah perkara yang telah anda lakukan sepanjang hari ini. Anda akan melihat kejayaan dan kegagalan yang telah anda capai. Selepas itu,  ambillah pendekatan untuk menjadi yang terbaik untuk hari esok.


4. Percaya Diri


Apabila kita mengenal siapa kita, ia tidak akan menggoyahkan keyakinan diri kita. Kaji lah lebih lanjut tentang kekuatan dan kelemahan diri dan bersedialah melepaskan sesuatu yang membuatkan diri kita menjadi kecil dan kurang yakin di mata masyarakat. Sedarilah bahawa kita diciptakan dengan keunikan dan kekuatan yang tiada tolak bandingnya.


5. Kenali sikap diri


Sikap merupakan mercu tanda terhadap siapa kita yang sebenarnya. kita dapat mengenali sikap kita dengan mengimbau kembali saat kita kehilangan sesuatu yang berharga. Perhatikan keadaan diri kita pada ketika itu sama ada cepat melenting, tenang, sabar dan sebagainya. Jika konsisten, maka itulah diri kita yang sesungguhnya.



Kesimpulannya, kenalilah diri sendiri sebelum melakukan perubahan diri. Apabila anda bertekad untuk berubah, ambillah peluang dan kesempatan yang ada tanpa mensia-siakannya. Jangan pernah berhenti sebelum anda belum mencapai sasaran perubahan diri.