Wednesday 17 December 2014

Kebanjiran PTI: Salah Siapa?


Molly Jikulloi
10 December 2014

Pembangunan di Malaysia pada abad ke-21 kini terus berkembang tanpa sempadan merentasi arus globalisasi. Negara Malaysia telah menerokai setiap inci demi inci kejayaan dalam pelbagai aspek sehinggalah ke hari ini kita masih mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara lain. Kestabilan politik dan perkembangan dari segi ekonomi telah menjadikan Malaysia sebagai ikon antarabangsa untuk melangkah lebih jauh dalam pembangunan sesebuah negara.

Namun demikian, kelemahan daripada aspek sosial masih jelas kelihatan apabila isu mengenai kebanjiran PTI masih gagal ditangani oleh pihak yang berkenaan khususnya di Sabah. Sekian lama rakyat Sabah terpaksa berendam air mata apabila isu ini menjadi serius setiap tahun. Saban hari, media massa asyik memaparkan isu-isu sosial yang dipelopori oleh golongan pendatang asing tanpa izin. Apabila perkara ini acap kali berlaku dan tiada kawalan drastik daripada pihak-pihak tertentu maka ia seolah-olah menjadi perkara biasa dan lambat laun akan menjadi isu-isu luar biasa. Isu-isu seumpama ini bertambah serius setiap tahun apabila kedatangan pendatang asing terus meningkat melebihi jumlah suku kaum di Sabah. Dalam konteks ini siapakah yang wajar dipersalahkan?. Adakah sistem kawalan dan keselamatan negara kita yang lemah? atau adakah kerajaan sudah lepas tangan atau menutup sebelah mata untuk menangani masalah ini?.

Kebanjiran PTI telah menyebabkan keselamatan sosial di Sabah khususnya turut terancam. PTI yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah cuba menyusup masuk ke Sabah dan ada dalam kalangan mereka adalah penjenayah yang dikehendaki pihak berkuasa di negara asal mereka. Lebih malangnya lagi, mereka terus melakukan jenayah seperti pembunuhan, kes rompakan, rogol dan sebagainya di Sabah. Situasi ini telah memberi impak besar dalam kehidupan masyarakat Sabah yang sentiasa dilanda ketakutan dan menanggung trauma sepanjang masa.

Selain itu, lambakan kehadiran warga asing juga akan menyebabkan pembawaan penyakit-penyakit berbahaya yang merebak secara meluas. Lazimnya, PTI yang masuk ke Sabah tidak menjalani pemeriksaan kesihatan. Akibatnya, rakyat terpaksa menjadi mangsa kepada penyakit-penyakit tersebut. Penularan penyakit tersebut juga turut menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos perbelanjaan yang tinggi bagi mengatasi masalah ini. Statistik menunjukkan peningkatan bermacam-macam jenis penyakit setiap tahun dalam kalangan masyarakat. Antara jenis penyakit yang kian berleluasa pada masa kini ialah AIDS, tibi, hepatitis, penyakit kelamin dan sebagainya.

Kedatangan pendatang asing juga turut mendatangkan masalah setinggan. Di mana, mereka mendirikan kawasan perumahan secara haram. Lazimnya, mereka akan memilih kawasan-kawasan yang terpencil dan tersorok daripada pihak berkuasa seperti di kawasan hutan, kebun-kebun kecil dan sebagainya. Kawasan setinggan ini menyumbang kepada masalah kesesakan dan pencemaran alam sekitar. Ini kerana, mereka tidak mempunyai sistem kumbahan dan pembuangan sampah yang teratur. Malahan kemudahan asas seperti bekalan air yang bersih dan elektrik juga sukar diperoleh. Namun demikian, terdapat juga sesetengah perumahan setinggan yang mempunyai kemudahan asas yang lengkap dengan bekalan elektrik dan air. Persoalannya, bagaimana pula mereka dengan mudahnya memperoleh kemudahan-kemudahan ini?, mengapakah pihak yang berkenaan tidak membuat pemeriksaan terhadap permohonan-permohonan ini?, serta siapakah yang patut dipersalahkan atas kelalaian ini?. Walhal, masih ramai masyarakat Sabah khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman yang masih membutuhkan kemudahan-kemudahan ini namun masih dalam kes rayuan permohonan untuk memperolehnya.

 Masyarakat terpaksa melalui pelbagai proses yang rumit semata-mata untuk membuat permohonan ini, kadangkala mereka terpaksa menunggu masa yang agak lama. Adakah pihak yang berkenaan memandang enteng terhadap masalah ini ataupun ianya merupakan agenda politik semata-mata. Justeru itu, situasi ini jelas menggambarkan sistem pentadbiran yang lemah dan penuh dengan muslihat. Secara tidak langsung ia boleh menjejaskan imej negara.

Hak yang sepatutnya menjadi milik rakyat akan bertukar tangan dengan warga PTI. Dalam konteks ini, persaingan sengit antara warga tempatan dan warga PTI dari segi ekonomi menjadi semakin parah dan membimbangkan. Kes ini dikatakan tidak akan menemui jalan penyelesaian selagi pihak majikan terus menerus mengupah warga PTI sebagai pekerja dalam sektor pembinaan, perladangan, penternakan, pembantu rumah dan sebagainya. Melalui temu bual tidak langsung, rata-rata majikan lebih suka memilih PTI kerana kos upah yang lebih murah. Hal ini sudah pastinya akan menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan dan menyumbang kepada masalah pengangguran yang serius.

 Majikan perlu menyedari bahawa sikap seumpama ini adalah salah di sisi undang-undang. Selain persaingan dari segi pekerjaan, warga tempatan juga terpaksa bersaing dari segi perniagaan. Hal ini kerana, banyak warga PTI yang terlibat dalam aktiviti perniagaan seperti membuka gerai makanan, menyediakan perkhidmatan menjahit pakaian, menjual barangan kemas, menjual ikan dan sebagainya. Mereka akan meletakkan harga barangan yang murah untuk meraih pelanggan yang ramai.

 Lebih mengecewakan lagi, terdapat juga sesetengah warga tempatan yang membeli barangan tersebut seolah-olah warga tempatan menyokong tindakan salah PTI. Di samping itu, ada dalam kalangan PTI yang hidup mewah dan menjadi kaya raya tanpa membayar cukai pendapatan. Persoalan yang  timbul ialah bagaimana kerajaan membuat pemantauan secara sistematik terhadap masalah ini sehingga kes-kes seperti ini boleh terlepas pandang ataupun sudah terpandang namun tiada tindakan segera di ambil.


Umumnya, masalah PTI yang kian meningkat saban hari telah menghantui masyarakat Sabah, mereka bukan sahaja membuka tanah di perkampungan malah mereka semakin melebarkan taring membuka penempatan di kawasan bandar. Impak ini bukan sahaja menjadi duri dalam masyarakat Sabah malah keperitan ini juga turut dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia. Justeru itu, rakyat tetap Sabah seolah-olah menjadi pelarian atau penumpang di tempat sendiri apabila hak-hak rakyat Sabah dimonopoli dan terpaksa dikongsi bersama PTI.

No comments:

Post a Comment